konvokesyen meatech

Sekitar Majlis Konvokesyen Meatech x FINAS 2025

KUALA LUMPUR: Bagi memperkukuh ekosistem industri kreatif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bekerjasama dengan pelbagai institusi pendidikan dan kemahiran untuk melahirkan graduan melalui Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional.

Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac, berkata akreditasi dalam bidang kemahiran memudahkan pihak berkuasa dan kementerian menilai kelayakan serta potensi individu sebelum dihantar mengikuti latihan atau pengajian ke luar negara. Menurutnya, akreditasi menjadi mekanisme penting untuk menilai profil serta kompetensi seseorang, sekali gus memberi kelebihan kepada individu yang memiliki pengiktirafan tersebut.

Pada majlis konvokesyen kelapan Akademi Kreatif Meatech di Menara FELDA kelmarin, FINAS turut memberi sokongan kepada 50 penggiat industri kreatif melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) bagi peringkat Diploma Kemahiran Malaysia. Syarat ini merangkumi tiga program iaitu koordinasi pengarahan filem, seni lakon teater, serta kejurulatihan lakon dan video atau filem penggambaran.

Turut hadir ialah CEO FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, dan CEO Akademi Kreatif Meatech, Shahralin Abd Hamid. Azmir menegaskan bahawa pembangunan latihan adalah sama penting dengan pembangunan industri, dan FINAS kini turut berbincang dengan universiti untuk memperkenalkan program baharu termasuk Pengkreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

Beliau juga memaklumkan bahawa FINAS sedang membangunkan laluan pembelajaran dan kerjaya yang lebih jelas untuk penggiat kreatif, dengan matlamat menjadikan industri kreatif lebih profesional dan berteraskan pendidikan serta ekosistem yang kukuh, bukan sekadar hiburan.

Sementara itu, Shahralin berkata, Akademi Kreatif Meatech bersedia menambah program latihan baharu bersama FINAS susulan kejayaan kumpulan pertama melalui kaedah PPT. Sebagai pusat bertauliah penuh di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Meatech boleh melaksanakan sebarang program di bawah JPK dengan kelulusan jabatan berkenaan.

Antara penerima diploma pada konvokesyen tersebut ialah Datuk Afdlin Shauki, Zed Zaidi, Anne Abdullah, Marissa Yasmin, Zizan Nin, Farah Ahmad, Riezman Khuzaimi, Kuna Muzani, Datuk Fizz Fairuz, Pekin Ibrahim, Shahz Jaszle, Faye Kusairi, Ezlynn Ariffin dan ramai lagi.

Sejak 2010, Akademi Kreatif Meatech komited melahirkan tenaga mahir dalam bidang kreatif dan teknikal termasuk reka bentuk grafik, multimedia, media digital, penjagaan warga emas, pengurusan perniagaan dan teknologi elektrik.